AHLAN WASAHLAN




Selamat datang ke Blog J-QAF Kuala Langat. Semoga dengan ada blog ini boleh menjadi wadah terbaik warga pendidikan j-QAF di seluruh pelusuk tanah air untuk Tabadul Ara' (berkongsi pandangan) bagi mengangkat pendidikan Islam ke tahap yang lebih cemerlang. Admin mengalukan-alukan sebarang saranan dan komen membina menambah baik blog ini pada masa akan datang.

Jurulatih Utama E-Pelaporan j-QAF

Jurulatih Utama E-Pelaporan j-QAF

Thursday, September 26, 2013

IBADAH KURBAN DI BUMI AMBIYA' DAN NEGARA ISLAM YANG MEMERLUKAN - ANJURAN IKRAM MALAYSIA

BERSEMPENA DENGAN IDULADHA DAN HAJI IKRAM MALAYSIA AKAN MENGANJURKAN IBADAH QURBAN DI PALESTIN , MESIR DAN SYIRIA. 

SESIAPA YANG BERMINAT BOLEH MENGHUBUNGI USTAZ ABDUL NAJAH @ EN. YUSRI DAHRUMI  @ TERUS MENYUMBANG KE AKAUN YANG TERTERA DI PAMPLETE. 

LAYAK MENDAPAT PELAPASAN CUKAI PENDAPATAN






KAITAN IBADAH KORBAN DENGAN IMAN
Definisi Dan Dalil Korban
Korban bermaksud menyembelih unta, lembu dan kambing dengan tujuan untuk mengabdikan diri kepada Allah (swt).
Dalil mengenai korban terdapat dalam ayat suci al-Quran iaitu;
“Maka dirikanlah solat kerana Rabbmu, dan sembelihlah korban.”
(Surah al-Kauthar: 2)
Hukum Korban
Para ulama berselisih pendapat mengenai hukum korban sama ada ianya wajib atau sunat.
Menurut pandangan jumhur (majoriti) ulama iaitu Maliki, Syafi’i dan Hambali bahawa menyembelih korban pada Hari Raya Aidil Adha adalah sunat muakkad (sunah yang sangat dituntut). Sementara itu, menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Al-Auza’i, Laits dan Ibn Taymiyyah (rh) mengatakan hukum korban adalah wajib ke atas mereka yang berkemampuan. Di bawah ini adalah dalil yang dipegang oleh kedua kumpulan ini.
1.   Di antara dalil yang dipegang oleh jumhur ulama yang mengatakan korban adalah sunat muakkad ialah hadis berikut:-
“Jika masuk sepuluh hari pertama Zulhijjah dan salah seorang dari kamu  mahu berkorban, maka jangan mencukur sedikitpun dari  rambut dan kukunya.” (HR Al-Jamaah kecuali Bukhari)
Dalam hadis ini dikaitkan dengan keinginan/kemahuan dan ia dianggap tidak wajib.  Selain dari itu, terdapat riwayat bahawa Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar (ra) meninggalkan korban dengan sengaja pada sebahagian tahun dan ini menunjukkan ia tidak wajib.
2.   Di antara dalil yang dipegang oleh mazhab Hanafi yang mengatakan korban adalah wajib adalah dari surah al-Kauthar ayat 2 di atas dan hadis berikut:-
Dari Abu Hurairah (ra), Rasulullah (saw) bersabda;
“Sesiapa yang mempunyai kemampuan, lalu ia tidak berkorban, maka  jangan dia menghampiri tempat solat kami. (HR Ahmad dan Ibn Maajah. Hadis ini mauquf yang dihukum marfu’)
Ulama Hanafi mengatakan perintah mengerjakan solat dan menyembelih korban dalam surah al-Kauthar adalah sama status wajibnya. Sementara itu, tegahan yang terdapat dalam hadis di atas menunjukkan korban adalah wajib.
Haiwan Untuk Korban & Pembahagiannya
Asal haiwan untuk korban hendaklah dari haiwan ternak iaitu unta, lembu dan kambing seperti yang telah sabit dari sumber hadis Rasulullah (saw) dan ayat suci al-Quran. Sebahagian ulama membolehkan berkorban dengan kuda belang, lembu hutan dan kijang. Selain dari haiwan ini tidak dibolehkan.
Pembahagian yang telah ditetapkan oleh syariah ialah kambing untuk satu orang dan unta atau lembu untuk tujuh (7) orang yakni tujuh bahagian.
Jenis Korban
Para ulama membahagikan korban kepada 2 jenis iaitu korban wajib dan korban sunat.
1.   Korban Wajib
Terdapat tiga perkara menyebabkan korban menjadi wajib seperti berikut:-
1.             Korban menjadi wajib disebabkan nazar dengan mengatakan “kerana ALLAH wajib ke atas diriku korban seekor kambing” atau “aku jadikan kambing ini sebagai korban” dan seumpamanya.
2.             Korban juga menjadi wajib kepada sesorang yang tidak wajib korban seperti orang fakir dengan cara dia membeli haiwan untuk niat korban. Ini kerana setiap pembelian dengan niat korban dikira melakukan saluran menjadikannya sebagai wajib. Pada ‘uruf perbuatan ini dikira sebagai satu nazar untuk korban.
3.             Korban menjadi wajib bagi orang kaya kerana ia berkemampuan. Ia bukannya disebabkan dua perkara yang di atas.  Kewajipan ini disebabkan orang kaya dituntut melakukannya sebagai tanda kesyukuran atas segala nikmat ALLAH (swt) dan menghidupkan sunah Nabi Ibrahim (as).
2.   Korban Sunat
Korban sunat ialah korban seorang yang musafir atau orang fakir yang tidak bernazar untuk berkorban atau tidak membeli haiwan dengan niat korban.  Ia dikira sebagai sunat kerana tidak mempunyai sebab atau syarat menjadikannya wajib.
Jenis Dan Umur Haiwan Korban
Bagi haiwan unta hendaklah berumur 5 tahun, lembu berumur 2 tahun dan kambing berumur 6 bulan.  Bagi unta dan lembu hanya perlu diambil satu daripada tujuh bahagian. Syarat sah korban hendaklah haiwan korban itu tidak mempunyai kecacatan dan sembelihan korban hendaklah dilaksanakan dalam waktu yang ditentukan.
Waktu Penyembelihan Korban
Waktu penyembelihan bermula dari selepas solat Hari Raya Adha (10 Zulhijjah) sehingga berakhirnya hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) seperti yang diriwayatkan dalam Bukhari, Muslim dan Ahmad.
Hukum Daging Korban
Maksud dan tujuan korban terlaksana dengan mengalirkan darah haiwan tersebut. (Mughni al-Muhtaj).
Jumhur fuqaha mengatakan bahawa korban yang dilakukan secara sukarela (sunat) harus dimakan, tetapi jika ia korban nazar atau wajib melalui pembelian, maka ia haram dimakan. Demikian juga haiwan yang dikongsi seramai tujuh orang dan seorang daripadanya berniat menqadhakan korbannya (korban wajib) yang telah lepas, maka haram dimakan (oleh orang yang bernazar itu sahaja).
Bagi korban nazar yang dikongsi bersama dengan 6 bahagian yang lain. Menurut mazhab as-Syafi’i, seseorang itu tidak boleh makan untuk bahagiannya sahaja. Enam bahagian lain tidak terlibat. Hanya orang yang bernazar sahaja yang tidak boleh makan dagingnya tetapi orang lain disekelilingnya boleh makan termasuk ahli keluargany
Larangan memakan daging korban yang dinazarkan adalah kerana ia telah menjadi sedekah dan seseorang itu tidak boleh makan sedekahnya. Ini adalah secara umum, kerana terdapat perbezaan pandangan berkaitan korban yang dinazarkan.  Berkaitan dengan nazar yang dibuat secara umum di mana seseorang itu bernazar untuk tidak memberikannya secara khusus kepada orang faqir miskin – sama ada secara lisan atau dengan niat – ia dibolehkan dimakan menurut mazhab Maliki dan sebahagian ulama Syafi’i. (Mawsu’ah al-Fiqhiyyah).
Disyariatkan bagi orang yang melakukan korban memakan dagingnya, menghadiahkan (kepada sesiapa yang dikehendaki walaupun orang kaya) dan menyedekahkan kepada fakir miskin. Ini berdasarkan firman Allah (swt) yang maksudnya:
“ ..Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.” (Al-Hajj:28)
“.. Maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta.”(Al-Hajj:36)
Para fuqaha (rh) berbeza pendapat mengenai jumlah yang harus dimakan, dihadiahkan dan disedekahkan.  Perkara ini adalah luas, tetapi cara pembahagian yang terbaik adalah 1/3 dimakan sendiri, 1/3 dihadiahkan dan 1/3 disedeqahkan. Ini adalah pendapat Ibn Masud dan Ibn Umar (ra) yang disebut dalam al-Wazaif. Bahagian yang boleh dimakan boleh disimpan selama yang diinginkan selagi tidak rosak seperti hadis Rasulullah (saw) maksudnya;
“Makan dan simpanlah serta sedekahkanlah (daging korban itu). (HR Muslim)
Kebenaran memakan dan mengagihkan daging korban tidak ada perbezaan di antara korban sunat atau wajib, yang dilakukan bagi pihak orang yang hidup atau meninggal dunia dan dalam melaksanakan wasiat.
Haram hukumnya menjual mana-mana anggota haiwan korban, sama ada dagingnya atau lain-lain bahagian termasuk kulit. Orang yang menyembelih korban tidak boleh mengambil mana-mana bahagian haiwan korban sebagai maksud upah di atas kerjanya kerana ia seumpama menjualnya. Terdapat hadis Nabi (saw) yang melarang hal ini. Jika hendak dibayar upahnya, hendaklah dari sumber dan cara yang lain. Dibolehkan jika seseorang itu memberikan kepada orang yang menyembelih dengan niat sebagai hadiah atau sedekah di atas kemiskinannya.
Sekian. Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...